info
THE RIYADH SEASON 2021, PESTA HIBURAN BESAR-BESARAN DI ARAB SAUDI TANDA BENCANA UMAT AKHIR ZAMAN
October 24, 2021THE RIYADH SEASON 2021 | Sangat terkejut apabila tertengok video perasmian Riyadh Season 2021. Sungguh mengecewakan dan menyedihkan. Saat kita masih berada dalam bulan kelahiran Rasulullah SAW yang mulia dan baru sahaja mendapat berita bahawa ibadah umrah telah dibuka semula, di sana ada pula pihak yang sengaja mencemarkannya dengan PESTA HIBURAN YANG MEMALUKAN seluruh dunia Islam. Apatah lagi ia dilakukan di negara yang menjadi pusat umat Islam menunaikan ibadah Haji dan Umrah iaitu Arab Saudi. Allahuakbar.
The Riyadh Season 2021
Disini CN kongsikan ulasan dari Ustazah Asma' Harun tentang pesta yang memalukan ini. Tak pelik lah kenapa negara Palestin lagi menyanjung Malaysia dari Arab Saudi.
Tuan Puan,
Tular gambar dan video tentang sebuah festival hiburan besar-besaran yang dikenali sebagai “Riyadh Season” dalam kebanyakan media sosial. Festival yang dikelola oleh kerajaan Arab Saudi ini seolah-olah sebuah tanda bencana akhir zaman. Ingatlah sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سَمَعِْتُ رَسُوْلَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللّٰهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَرُ وَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
Ertinya: Daripada Abu Hurairah RA, katanya: Aku mendengar RasuIullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpunkan harta sebanyak mungkin, (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim-menzalim.”
(HR al-Hakim)
Kerajaan Arab Saudi mengatakan festival ini sebagai salah satu usaha yang dilakukan untuk merancakkan kembali ekonomi dan industri pelancongan. Namun, sebagai sebuah negara Islam yang terdapat kalimah “لا إله إلا الله محمد رسول الله” pada bendera negara, ia suatu yang AMAT MENDUKACITAKAN.
Bukan sekadar itu, Riyadh Season kali ini merupakan kali yang kedua selepas kali pertama ia pernah diadakan pada tahun 2019, dengan jemputannya termasuklah artis antarabangsa iaitu kumpulan BTS dari Korea.
Festival yang dijadualkan bermula sejak bulan Oktober 2021 sehingga bulan Mac 2022 ini menampilkan 7 konsert artis Arab, 6 konsert artis antarabangsa, 350 persembahan teater, perlawanan gusti WWE dan banyak lagi acara hiburan yang lain. Dalam acara pembukaannya beberapa hari lalu, seramai lebih 250,000 orang telah hadir untuk menyaksikannya. Jumlah ini belum termasuk dengan jutaan lagi penonton secara langsung menerusi saluran televisyen dan media sosial.
Sungguh, ini sebuah ujian yang berat bagi seluruh umat Islam. Tatkala ramai yang sedang berfikir untuk melaksanakan ibadah umrah di tanah suci selepas SOP mula dilonggarkan dan tidak perlu lagi solat berjemaah dengan penjarakan saf, namun sebahagian mereka di sana memilih untuk berhibur dan berseronok dalam kemaksiatan yang jelas. Allahuakbar.
Sedar atau tidak, perlahan-perlahan, budaya liberal yang selama ini menjadi amalan masyarakat barat seolah sudah meresap masuk ke dalam jiwa orang-orang Islam.
Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman.
Sabda baginda SAW:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يا رَسُولَ اللّٰهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ.
Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(HR Muslim)
UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN IBARAT BUIH DI LAUTAN
Saya pasti seluruh umat Islam yang masih ada iman dalam hati turut berasa amat kecewa dengan keadaan ini. Dalam situasi pandemik yang baru saja ingin pulih, festival yang dilakukan ini benar-benar telah menambah musibah kepada ummah.
Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila festival hiburan sebesar ini dianjurkan di sebuah negara yang menjadi tanah bermulanya penyebaran agama Islam. Di manakah panduan al-Quran dan as-Sunnah yang seharusnya dijunjung? Adakah semuanya hanya tinggal ucapan dan kata-kata kosong?
Tuan Puan,
Nabi Muhammad SAW pernah menceritakan keadaan umat Islam pada akhir zaman, yang ketika itu jumlah kita adalah ramai, namun kita umpama hanya buih di lautan.
عَنْ ثَوْباَنَ قَالَ : قََالَ رَسُوْلُ اللّٰهِ : (( يُوْشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا))
Maksudnya: Daripada Thauban, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, “Umat-umat hampir saja mengerumuni kalian sebagaimana orang-orang yang kelaparan mengerumuni sebuah hidangan (lazat).”
فَقَالَ قَائِلٌ : وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِدٍ؟ قَالَ : (( بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِدٍ كَثِيْرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللّٰهُ مِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللّٰهُ فِي قُلُوْبِكُمُ الْوَهْنَ ))
Lalu seseorang bertanya: “Apakah kami ketika itu sedikit?” Baginda menjawab: “Justeru kalian ketika itu jumlahnya ramai. Akan tetapi, keadaan kalian seperti buih di tengah-tengah lautan. Allah benar-benar mencabut kehebatan kalian daripada dada-dada musuh kalian dan Allah lemparkan ke dalam hati-hati kalian sifat Wahn.”
فَقَالَ قَائِلٌ : ياَ رَسُوْلَ اللّٰهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ : (( حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. ))
Lalu orang tersebut bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah Wahn itu?” Rasulullah menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”
(HR Abu Dawud)
SERUAN KEPADA PARA PEMIMPIN ISLAM
Tuan Puan,
Setiap manusia diberikan amanah untuk menjalankan peranan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini. Namun, tugas sebagai seorang pemimpin negara lebih besar kerana dia memikul amanah untuk memelihara agama dan mentadbir negara dengan syariat Islam. Tanggungjawab ini amat berat dan ia mesti dipikul dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَیۡنَ أَن یَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومࣰا جَهُولࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya, tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Surah al-Ahzab: 72)
Besar harapan kita supaya segala program maksiat dan hiburan melampau yang diadakan di mana-mana jua negara dibanteras dan dihentikan, agar perkara ini tidak menjadi sebuah normalisasi kepada masyarakat Islam. Kita amat bimbang apabila maksiat mula dianggap biasa, Allah SWT juga mula menurunkan bala. Nauzubillah.
Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: “Dan jagalah diri kalian daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kalian secara khusus (tetapi akan menimpa kalian secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”
(Surah al-Anfal: 25)
Subhanallah, inilah yang kita takuti apabila dosa berleluasa dan tiada siapa yang menegur. Musibah bukan sahaja diturunkan kepada golongan yang melakukan kemungkaran, bahkan semua sekali akan dikenakan azab Allah SWT.
Kesimpulannya, sebagai umat yang cinta akan agama Islam, kita seharusnya MENYATAKAN BANTAHAN DAN KETIDAKSETUJUAN TERHADAP APA-APA JUA ACARA YANG MELIBATKAN MAKSIAT DAN HIBURAN MELAMPAU, bukan sahaja kepada “Riyadh Season” yang berlaku di Arab Saudi ini.
Jika hanya dibiarkan, bimbang sikap kita seperti termasuk dalam kalangan orang yang redha kepada maksiat. Kata ulama:
إِنَّ الرِّضَا بِالْمَعْصِيَةِ مَعْصَيَةٌ وَإِنَّ الرِّضَا بِالْكُفْرِ كُفْرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya redha dengan perkara maksiat maka ianya juga merupakan maksiat, dan redha dengan perkara kufur maka ianya juga merupakan kekufuran."
Ingatlah, rasa benci terhadap kemungkaran merupakan petanda masih wujudnya iman dalam hati. Jika tidak, bimbang kita mati dalam keadaan tiada iman.
عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللّٰهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
[رواه مسلم]
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka (tolaklah) dengan hatinya, dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.”
(HR Muslim)
Semoga Allah SWT sentiasa membimbing para pemimpin negara Islam agar dapat melaksanakan amanah dengan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah. Mudah-mudahan juga, setiap usaha kita mempertahankan syariat Islam dinilai oleh Allah SWT walaupun kecil dan diganjarkan dengan syurga Firdaus.
Sahabat, mari kita bersama amalkan doa ini agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.”
(HR Muslim)
Semoga bermanfaat buat semua.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
ASMA' BINTI HARUN & TIM PENYELIDIK
#UAHSahabatDuniaAkhirat
#SahabatAmalCare
~ Sharing is caring from Cekgu Norazimah ~